Foto: BAM

PARIS – Cabaran pemain perseorangan wanita profesional Malaysia, Goh Jin Wei di Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir selepas tewas pada aksi kedua Kumpulan H  hari ini.

Pemain berusia 24 tahun itu terpaksa akur dengan kekalahan dalam permainan tiga set 17-21, 22-20, 21-23 kepada pemain ranking ke-17 dunia Kim Ga Eun selepas perjuangan selama 65 minit di Porte de La Chapelle Arena di sini.

Jin Wei yang bangkit daripada kekalahan set pertama berjaya memberikan saingan sengit pada set kedua dan ketiga, namun terpaksa akur kepada pemain Korea itu.

Beliau memulakan kempen dengan kemenangan 23-21, 21-11 ke atas juara Sukan Afrika dua kali Johanita Scholtz dari Afrika Selatan, dua hari lepas.

Ga Eun yang mudah membenam Scholtz 21-12, 21-6 mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan dan seterusnya dijangka bertemu Gregoria Mariska Tunjung pada pusingan 16 terakhir sekiranya pemain Indonesia itu menepati ramalan muncul juara Kumpulan G.

Jin Wei yang menduduki tempat kedua Kumpulan H terpaksa menamatkan debut Olimpiknya kerana hanya juara kumpulan akan mara.

Jin Wei yang menangis kekecewaan selepas aksi itu meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana tidak dapat menggunakan peluangnya dengan baik untuk mara ke pusingan kalah mati.

“Minta maaf kepada semua rakyat Malaysia. Saya ada peluang tetapi saya sendiri buat kesalahan sehingga tak dapat menang, tidak tahu kenapa saya cemas.

“Saya terima kekalahan ini dan tak nak beri apa-apa alasan. Masih ada ruang untuk penambahbaikan dan bersedia untuk hadapi cabaran,” katanya.

Perjalanan Jin Wei ke Paris 2024 sangat berliku apabila pernah menjalani pembedahan usus besar pada 2019 dan keluar daripada persaraan sementara untuk mencapai impiannya melayakkan diri ke Olimpik. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast