TEHRAN- Kementerian Luar Iran pada Rabu mengesahkan kematian Ismail Haniyeh, sambil menegaskan siasatan kematian pemimpin kumpulan Hamas itu sedang dijalankan.
Dalam kenyataannya, jurucakap Kementerian Luar, Nasser Kanani berkata, siasatan terperinci mengenai insiden itu sedang dilakukan oleh pihak berkuasa Republik Islam Iran.
“Kesyahidan saudara Ismail Haniyeh di Tehran tidak akan memutuskan, sebaliknya akan mengukuhkan lagi hubungan di antara Iran, Palestin dan kumpulan pejuang yang dikasihi,” katanya sambil mengucapkan takziah di atas kematian pemimpin tersebut.
Sementara itu, Parlimen Iran mengumumkan bakal mengadakan mesyuarat luar biasa susulan pembunuhan Ismail di Tehran.
Dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Mehr, jurucakap Parlimen bagi Suruhanjaya Keselamatan Negara, Ebrahim Rezaei berkata, mesyuarat berkenaan akan dihadiri oleh semua institusi berkaitan dan hasil pertemuan akan diumumkan kepada orang awam.
Terdahulu, kumpulan Hamas mengumumkan kematian Ismail akibat ‘pembunuhan pengkhianatan’ di Tehran.
Israel bagaimanapun tidak membuat sebarang pengumuman lagi berhubung pembunuhan tersebut.- Anadolu