KUALA LUMPUR – Pas mengecam pembunuhan pemimpin kanan Hamas Ismail Haniyeh di Tehran, Iran hari ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan Israel sebagai pengecut dan menjadi datang pembunuhan Haniyeh.
“Pas mengecam serangan Israel di ibu kota Iran, Tehran yang telah mengorbankan nyawa Ketua Politik Pasukan Pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya.
“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh atas tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah.
“Seluruh dunia perlu mengutuk Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini malah sedang melakukan jenayah perang di Gaza. Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan pejuang Hamas yang berkabung atas kematian Haniyeh dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran),” katanya.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.
Pada 10 April, Haniyeh kehilangan tiga anak lelakinya dan cucunya dalam serangan udara Israel ke atas kereta mereka di Gaza.
Pada 25 Jun, ahli keluaga Haniyeh termasuk kakaknya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas rumah mereka di barat Bandaraya Gaza.
Menurut sumber perubatan, sekurang-kurangnya 10 orang daripada keluarga Haniyeh terbunuh dalam serangan tersebut.
Sehingga kini Israel telah membunuh lebih 40,000 penduduk Gaza dalam serangan berterusan selama sembilan bulan.-MalaysiaGazette