KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada pasangan suami isteri yang didapati bersalah menerima wang deposit lebih RM300,000 bagi tujuan pelaburan.
Ho Kok Keong dan isteri, Koh Orchid menerima deposit itu bagi aktiviti pelaburan tanpa sebarang lesen sah pada 2016.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pendakwaan yang berjaya membuktikan kes tersebut tanpa keraguan munasabah.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman kerana peguam mewakili pasangan itu memaklumkan akan membuat rayuan.
Hakim menetapkan jaminan setiap seorang sebanyak RM30,000.
Pasangan itu telah menerima sejumlah wang, RM364,000 bagi tujuan pelaburan daripada Lee Kuan Peng secara berperingkat antara 16 Disember 2015 dan 16 April 2016.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.
Jika sabit salah boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-keduanya. -MalaysiaGazette