MUAR – Seorang pekerja syarikat pembersihan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di rumahnya di sini pada 2022.
Tertuduh, Muhammad Zuladha Ferhad Zuraini, 23, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 13 tahun di rumahnya di sini antara Ogos hingga November 2022.
Untuk itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan laporan dibuat, mangsa baru mengenali tertuduh kira-kira seminggu melalui seorang rakan sebelum keluar bersama-sama menaiki motosikal.
Sepanjang perkenalan, tertuduh membawa mangsa pulang ke rumah ketika ketiadaan ahli keluarga untuk melakukan perbuatan itu.
Bagaimanapun, perbuatan tertuduh terbongkar apabila mangsa pening dan pengsan di sebuah tapak ekspo di bandar ini pada Disember lalu.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini dan pemeriksaan doktor mendapatinya sudah hamil 14 minggu ketika itu.
Satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pada 17 Disember 2022 dengan tertuduh ditahan tiga hari kemudian.
Selain itu, mangsa dilaporkan sudah melahirkan anak pada 12 Jun tahun lalu namun bayi berkenaan diserahkan kepada orang lain.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira pengakuan bersalah selain perbuatannya hingga mangsa melahirkan anak.
Selepas mendengar rayuan dan juga hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Ogos ini untuk pihak pendakwaan menyediakan fakta dan hukuman.
Pada masa sama, mahkamah menetapkan dua syarat tertuduh perlu melapor diri di IPD Muar setiap awal bulan serta tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa serta ahli keluarganya.- MalaysiaGazette