KLUANG – Seorang pemandu maut selepas lori dipandunya melanggar belakang sebuah lori lain semasa keadaan jalan sesak di Kilometer 62.4 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor berkata, kemalangan tersebut berlaku pada pukul 3 pagi melibatkan lori jenis Volvo dan Mercedes-Benz yang kedua-duanya datang dari arah sama.
“Kedua-dua lori berkenaan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru. Semasa sampai di tempat kejadian, lori Volvo yang berada di hadapan lori Mercedes-Benz telah brek dan perlahankan lorinya kerana keadaan lalu lintas sesak.
“Tiba-tiba lori Mercedes-Benz di belakang lori Volvo tidak sempat untuk brek kerana jarak terlalu dekat lalu lori melanggar belakang lori Volvo tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, pemandu lori Mercedes-Benz, Mohd Faizal Khalid, 41, yang beralamat di Kampung Telok Yan, Alor Setar, Kedah, cedera parah di kepala dan badan sebelum dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Katanya, pemandu lori Volvo pula, K Paramasivam, 42, yang beralamat di Taman KTC, Kulim, Kedah tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, pemandu lori Mercedes-Benz itu disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital akibat kecederaan yang dialami pada pukul 7.30 petang.
“Punca kemalangan akibat pemandu lori Mercedes Benz tersebut hilang kawalan dan terlanggar belakang lori Volvo. Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Aktas Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.- MalaysiaGazette