KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh sebagai tragik dan kejam.
Menurut Anwar, pembunuhan Haniyeh secara jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan damai bagi menamatkan perang di Gaza.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas saudara Ismail Haniyeh hari ini.
“Pembunuhan ini ternyata sangat tragik dan kejam yang jelas bertujuan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung bagi mengakhiri kekejaman rejim Zionis Israel di Gaza yang telah meragut lebih dari 40,000 nyawa.
“Pembunuhan besar-besaran ini hanya boleh berlaku dimungkinkan dengan tanggapan bahawa tidak ada sesiapa yang akan dipertanggungjawabkan dan dihukum,” kata Anwar dalam kenyataan.
Anwar menegaskan, pihak yang telah mengkritik beliau bertemu Haniyeh di Doha pada Mei lalu telah gagal menghargai keinginan mendalam Allahyarham untuk sebuah Timur Tengah yang aman.
Pihak tersebut juga gagal untuk memahami hasrat Haniyeh dalam pembentukan sebuah negara Palestin yang tertegak dengan maruah dan kebebasan.
“Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.
“Rakyat Palestin telah dihadapkan dengan malapetaka dan penderitaan selama berdekad lamanya, dan saya amat bimbang tentang nasib mereka susulan pembunuhan saudara Ismail.
“Saya berduka atas kehilangan seorang sahabat yang akrab dan tokoh pejuang sejati rakyat Palestin,” kata Anwar dalam kenyataa.
Perang di Gaza telah berlanjutan selama 10 bulan dengan Israel telah membunuh lebih 40,000 penduduk Gaza selain memusnahkan rumah dan kemudahan awam termasuk hospital, sekolah dan pusat pelindungan pelarian.
Haniyeh dilaporkan maut dalam serangan yang dilakukan di Tehran, Iran awal hari ini. – MalaysiaGazette