Nurul Izzah Anwar.- Foto WAN NABIL NASIR, 22 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Pembunuhan pejuang palestin Ismail Haniyeh disifatkan sebagai satu tregedi yang membuktikan konflik Palestin itu tidak mempunyai sempadan.

Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar), Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan tersebut menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau dan mesti dikecam sekeras-kerasnya.

“Ia adalah satu tragedi sebenar bahawa tiada garis merah dalam konflik Palestin yang sedang berlaku, dan kehilangan nyawa, termasuk Ismail Haniyeh, hanya berfungsi untuk mengekalkan kitaran keganasan dan penderitaan.

“Semua pihak yang terlibat perlu menahan diri dan mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan diplomasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa semua negara untuk menggalakkan gencatan senjata dan berusaha ke arah mengurangkan ketegangan di Timur Tengah.

Masyarakat antarabangsa tegas Nurul Izzah, perlu bersama-sama menyokong usaha untuk keamanan yang berkekalan yang menghormati hak dan aspirasi rakyat Palestin.

“Ucapan dan ucapan takziah kami ditujukan kepada keluarga, rakan-rakan, dan seluruh rakyat Palestin Haniyeh, serta semua yang terjejas akibat konflik itu.

“Semoga legasi beliau memberi inspirasi kepada komitmen yang diperbaharui terhadap keamanan dan keadilan di rantau ini,” kata Nurul Izzah.

Sementara itu Pengerusi Mahar, Jismi Johari turut mengecam pembunuhan Haniyeh di rumahnya di Tehran, Iran hari ini.

Menurut beliau, serangan berterusan Israel membuktikan bahawa rejim Zionis tidak menginginkan gencatan senjata seperti yang dituntut oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Serangan kurang ajar oleh Israel ini melenyapkan sebarang harapan ke arah penyelesaian aman berdasarkan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia akan terus diinjak-injak.

“Ops Ihsan sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas dan Israel perlu bertanggungjawab atas tindakan kejam ini,” katanya.

Kumpulan pejuang Palestin, Hamas mengesahkan bahawa Haniyeh terbunuh dalam ‘serbuan’ Israel di kediamannya di Tehran, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) .-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast