Najib Razak

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menetapkan 21 April tahun bagi prosiding tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy selepas dimaklumkan oleh peguam bela yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihaknya masih mengendalikan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri itu.

Muhammad Shafee memberitahu, pasukannya juga sedang menumpukan perhatian dalam kes saman oleh SRC International (SRC) yang sedang berlangsung ketika ini.

Perbicaraan tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu sepatutnya dilakukan antara 17 hingga 24 September tahun ini.

Pada hujung tahun lalu, Najib memohon untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atau dilepas dan dibebaskan (DAA) daripada tiga pertuduhan ini namun setakat ini Jabatan Peguam Negara (AGC) belum memuktamadkan keputusan tersebut.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta terhadapnya, yang didapati bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana SRC berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast