Mohamed Rastam Shahrom dilantik sebagai CFO Kumpulan RHB berkuatkuasa 1 Ogos 2024

KUALA LUMPUR- Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Mohamed Rastam Shahrom dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan RHB Bank Berhad.

RHB dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan itu berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Katanya, Mohamed Rastam mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbankan selain turut pernah memegang pelbagai jawatan penting di sektor korporat.

Ini termasuk menjawat jawatan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB dan CFO UEM Sunrise Bhd.

“Pengalaman beliau merangkumi pelbagai bidang penting termasuk kewangan, strategi, perubahan pengurusan, pembangunan perniagaan serta pengurusan pemegang taruh,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, bank tersebut mengumumkan pelantikan pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Phuah Shok Cheng sebagai Ketua Pegawai Kewangan Serantau dan Ketua Strategi Modal.

Menurut kenyataan itu, Shok Cheng akan menggunakan sepenuhnya pengalaman beliau dalam memacu prestasi kewangan serantau serta membentuk masa hadapan strategi modal RHB.

Kumpulan perbankan itu turut mengumumkan pelantikan Kevin Vijendren Davies sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Investment Bank Bhd. yang baharu.

Beliau akan menggantikan Ganesh Sabaratnam yang tamat kontrak 30 Jun lalu.

Dalam masa sama, RHB turut melantik Tan Boon Ching sebagai Ketua Auditor Dalaman Kumpulan.-MalaysiaGazette