Pelajar dilaporkan hilang, Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy selamat pulang ke rumah keluarganya di Rumah Rakyat 1, Pagoh, Muar, hari ini

TANGKAK – Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang Ahad lalu sudah pulang dalam keadaan selamat ke rumah keluarganya di Rumah Rakyat 1, Pagoh di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisoner Polis M Kumar berkata, kepulangan Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, 14, dilaporkan keluarganya kepada pihak polis pada pukul 11.30 pagi tadi.

“Berdasarkan siasatan awal dan pemerhatian luaran remaja terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

“Keluarga memaklumkan remaja berkenaan pulang sendiri ke kediamannya. Ketika ditanya, remaja itu memaklumkan dia berada di kawasan berdekatan sepanjang dilaporkan hilang.

“Namun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar sedang melaksanakan siasatan terperinci berhubung kehilangan remaja berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita 2024, di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Ahad lalu, Muhammad Effzaldanish yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

Kehilangan anak tunggal itu disedari oleh neneknya, Jaminah Shari, 90, sebelum meminta bantuan cucu lain mencarinya di sekolah serta kawasan sekitarnya.

Menurut sepupu Siti Nurhaliza, pada hari kehilangannya, Effzaldanish berjalan ke sekolah yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, pemerhatian ibu bapa terhadap anak-anak termasuk semasa pergi dan pulang sekolah serta pergaulan mereka cukup penting bagi mengelak kejadian kehilangan kanak-kanak.

“Bagi kejadian kehilangan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku sekarang ini, saya menasihatkan kepada ibu bapa perlu pastikan anak-anak sentiasa dalam perhatian dan pemerhatian mereka agar kejadian seperti ini tidak berlaku,” ujarnya.

Setiap pergerakan anak-anak perlu diambil tahu termasuk pergi dan balik ke sekolah selain berhubung dengan pihak sekolah serta memantau pergaulan mereka.- MalaysiaGazette