KUALA LUMPUR – Kisah seorang wanita yang berjaya menamatkan pengajian peringiat Doktor Falsafah (PhD) pada usia 82 tahun menjadi inspirasi kepada banyak pihak khususnya golongan wanita.
Kisah kejayaan Dr. Siti Zaharah Abd. Hamid itu dikongsikan menerusi laman sosial Facebook Fakulti Pengajian Peradaban Islam (FPPI), Universiti Islam Selangor (UIS) semalam.
“Tahniah & syabas diucapkan kepada Ustazah Siti Zaharah Hamid@Ummi (Doktor Falsafah Islamiyyat) atas kejayaan dalam sesi Peperiksaan Viva Voce pagi tadi (semalam).
“Sesuatu yang agak luar biasa apabila memperoleh kejayaan dalam peperiksaan lisan PhD pada usia 82 tahun. Ini amat memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus mencari ilmu dalam apa jua keadaan.
“Untuk rekod beliau merupakan mantan pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Sunnah UIS @ UIS – Universiti Islam Selangor,” demikian seperti yang ditulis menerusi laman sosial Facebook FPPI, UIS.
Berdasarkan pencarian di internet, Dr. Siti Zaharah yang juga bekas pensyarah FPPI UIS itu sudah memulakan pengajian PhD dalam bidang Falsafah Islamiyyat secara separuh masa ketika berusia 77 tahun.
Dalam pada itu, kejayaan Dr. Siti Zaharah menggenggam PhD pada usia emas itu turut tular di media sosial dan menuai pujian serta rasa bangga warga maya.
Rata-rata mereka melahirkan rasa kagum dengan semangat cintakan ilmu yang ditunjukkan Dr. Siti Zaharah sekali gus wajar dijadikan contoh serta teladan oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi mereka juga, kisah kejayaan Dr. Siti Zaharah itu juga membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk melakar kejayaan dalam apa-apa bidang sekali pun selagi ada kemahuan dan kesungguhan. – MalaysiaGazette