Joseph A/L Sinnappan bersama peguam Zaid Malek dan Peguam Lawyer For Liberty, N. Surendran selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 1 Ogos 2024.

PETALING JAYA – Bapa kepada , J Soosaimanicckam, pegawai kadet tentera laut yang meninggal dunia di kem pada 2018 membuat laporan polis hari ini bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kematian anaknya enam tahun lalu.

Laporan polis itu dibuat susulan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh Isnin lalu.

Peguam N. Surendran dan Zaid Malek mengiringi S Joseph membuat laporan itu di ibu pejabat polis Petaling Jaya hari ini.

Surendran menggesa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membentuk satu pasukan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menyiasat kematian Soosaimanicckam memandangkan perkara itu adalah amat serius.

Artikel berkaitan: Pegawai kadet TLDM ditampar berkali-kali sebelum meninggal dunia – Saksi

Mulut pegawai kadet TLDM berbuih, badan lem sebelum meninggal dunia – Saksi

Pagawai kadet TLDM jadi ‘target’ pegawai semasa latihan

Gagal beri rawatan punca kematian Kadet TLDM – Mahkamah Tinggi

Siasat secara adil kes kematian J. Soosaimanicckam – Mohamad Sabu

“Ini adalah kematian seorang kadet tentera laut dan ia berlaku di kem latihan. Ini melibatkan tentera laut. Ini melibatkan keselamatan. Ini adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan tersebut, di sini.

Joseph A/L Sinnappan menunjukkan laporan polis berhubung kematian mendiang J Soosaumanicckam, ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut enam tahun lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 1 Ogos 2024.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J. Soosaimanicckam ketika menjalani latihan di KD Sultan Idris, Lumut, enam tahun lalu sebagai kes bunuh.

Serentak itu, Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner pada 16 Jun tahun lalu yang memutuskan ‘keputusan terbuka’ berhubung inkues bagi menentukan punca kematian Soosaimanicckam pada 19 Mei 2018.

Dalam penghakimannya, Abdul Wahab berkata,  pegawai TLDM yang bertanggungjawab terhadap latihan kadet itu telah menafikan si mati daripada mendapatkan rawatan perubatan sehingga menjurus kepada punca kematian.

“Mengambil kira semua bukti terhadap siasatan punca kematian (inkues), Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan terbuka koroner dan menggantikan dengan homisid. Punca kematian si mati adalah edema pulmonari yang disebabkan oleh leptospirosis,” kata hakim itu.

Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 tengahari pada 19 Mei ketika berkhidmat di Hospital Angkatan Tentera di Lumut, Perak.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Soosaimanicckam mengadu sakit dada dan sesak nafas di asrama selepas menamatkan latihan fizikal rutin di kem berkenaan.

Surendran juga berkata, Joseph membuat laporan itu kerana tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan dan tentera laut berikutan keputusan mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Joseph berkata, dia hanya mahu mendapatkan keadilan serta mahu mengheret mereka yang bertanggungjawab atas kecuaian yang membawa kepada kematian anaknya.

“Saya menyesal menghantar anak saya ke tentera laut. Mereka cuai dan lalai dan disebabkan itu, anak saya telah meninggal dunia,” katanya dalam nada sayu. – MalaysiaGazette