KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank mengesahkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man telah menerima dua cek berjumlah RM447,216.35 daripada syarikat pelancongan antara 2016 hingga 2017.
Azlan telah memasukkan wang itu ke dalam akaun CIMB jenis I-Wadiah miliknya yang telah dibuka pada 29 Ogos 2011, menurut seorang lagi saksi pihak pendakwa hari ini.
Menurut Penolong Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB cawangan Putrajaya, Jespall Kaur Bantha Singh, cek pertama sebanyak RM224,404.40 diterima daripada Aidil Travel & Tours Sdn Bhd pada 2 Februari 2016.
Menurutnya, Azlan juga menerima satu lagi cek bernilai RM222,811.95 juga daripada syarikat sama bertarikh 3 April 2017 kemudian didepositkan ke akaun semasa CIMB beliau yang dibuka pada 31 Mac 2017.
Saksi keempat pendakwaan itu turut mengesahkan telah dirujuk dua set salinan Borang Pembukaan Akaun CIMB atas nama Azlan ketika perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu atas 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima hasil daripada aktiviti haram.
Ketika prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ketiga, Penolong Pengurus Cawangan Maybank Wisma FGV, Hasimah Hashim mendedahkan Azlan telah menerima cek berjumlah RM404,990 daripada syarikat pelancongan lain yang kemudiannya dimasukkan ke akaun Maybank beliau antara 2014 hingga 2015.
Kata saksi itu, kedua-dua cek yang diterima Azlan itu datangnya daripada yang sama, Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd.
Katanya, cek pertama bernilai RM208,339 pada tahun 2014 manakala satu lagi bernilai RM196,651 pada tahun 2015.
Prosiding akan bersambung pada 19 Ogos depan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.
Azlan Man sedang berdepan lima pertuduhan antaranya tuntutan palsu mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta. – MalaysiaGazette