PELABUHAN KLANG – Taktik penyeludupan sindiket yang mengikrar 6,500 pokok hidup sebagai “Landskape Aritificial Plants” berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selepas merampas sebuah kontena di Zon Bebas, Pelabuhan Utara, di sini, 6 Jun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Selangor, Norlela Ismail berkata, hasil pemeriksaan ke atas kontena itu menemukan pelbagai jenis pokok hidup termasuk bongsai yang dipercayai tidak mempunyai permit import.

“Pokok hidup ini dipercayai tidak mempunyai permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Kesemua 6,500 pokok hidup yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM325,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Sekysen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barangan itu atau RM100,000 yang mana lebih besar.

“Boleh dihukum denda tidak lebih 20 kali ganda nilai barang itu atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast