JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.16 malam.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut disedari oleh ahli keluarga mangsa yang merupakan pasangan suami isteri berusia 56 dan 78 tahun serta mempunyai hubungan rapat dengan mangsa.
“Sebelum kejadian, mangsa bersama ahli keluarga baru selesai beriadah di kolam renang pangsapuri berkenaan.
“Kanak-kanak itu dibawa balik ke rumah di tingkat 16, pangsapuri berkenaan oleh pasangan tersebut sementara menunggu ibu mangsa bersama ahli keluarga lain yang ke pusat dobi terletak di aras tujuh pangsapuri terbabit.
“Ketika berada di dalam rumah, pasangan suami isteri itu didakwa meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu, untuk menunaikan solat.
“Bagaimanapun selepas selesai menunaikan solat, kedua-duanya dikatakan mendapati mangsa tiada di dalam rumah. Hasil pencarian mendapati, mangsa dipercayai terjatuh ke aras 8 pangsapuri itu,” katanya.
Raub berkata, siasatan mendapati mangsa telah terjatuh dari aras 16 ke aras 8 pangsapuri itu menerusi tingkap bilik tidur yang terbuka serta tidak dipasang jeriji.
Akibat insiden itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan terdapat unsur-unsur pengabaian ke atas mangsa dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda RM50,000,00 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus di talian 07-2182323,” katanya. -MalaysiaGazette