WASHINGTON – Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) mengekadkan kadar faedah pada paras tertinggi 22 tahun 5.25 peratus hingga 5.5 peratus berikutan inflasi terus mereda.
Ia juga membayangkan penurunan kadar faedah mungkin berlaku pada bulan September.
“Inflasi telah berkurangan sepanjang tahun lalu tetapi kekal agak tinggi. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat beberapa kemajuan selanjutnya ke arah objektif inflasi 2.0 peratus yang dibuat oleh jawatankuasa,” kata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC), badan penetapan dasar Fed dalam kenyataan selepas mesyuarat dasar dua hari.
Jawatankuasa itu turut mengulangi, ia tidak menjangkakan adalah wajar untuk mengurangkan julat sasaran sehingga ia memperoleh keyakinan yang lebih tinggi bahawa inflasi bergerak secara mampan ke arah 2.0 peratus.
Di samping itu, jawatankuasa itu akan terus mengurangkan pegangan sekuriti Perbendaharaan dan hutang agensi serta sekuriti bersandarkan gadai janji agensi, kata kenyataan itu.
Apabila ditanya sama ada pemotongan kadar September adalah jangkaan munasabah, Jerome Powell berkata: “Kami tidak membuat keputusan mengenai mesyuarat akan datang. Itu termasuk mesyuarat September.”
Pada suku kedua, indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) meningkat 2.6 peratus, berbanding peningkatan 3.4 peratus pada suku pertama, menurut Biro Analisis Ekonomi Jabatan Perdagangan.
Ia tidak termasuk harga makanan dan tenaga, indeks harga PCE meningkat 2.9 peratus pada suku kedua, berbanding peningkatan 3.7 peratus pada suku sebelumnya.
“Kami fikir masanya (untuk penurunan kadar) semakin hampir. Jika kami mendapat data yang kami harap, pengurangan atau kadar dasar boleh dibincangkan pada mesyuarat September,” kata ketua Fed itu. – Agensi