Semalam dunia dikejutkan dengan berita pembunuhan Ismail Haniyeh, Ketua Biro Politik HAMAS di Tehran. Beliau berada di Tehran minggu ini untuk menghadiri upacara pelantikan Presiden Iran yang baru.
Kejadian berlaku pada jam 2:00 pagi waktu tempatan ketika beliau sedang tidur. Laporan awal menunjukkan beliau dibunuh menggunakan peluru berpandu yang dilepaskan daripada dron. Suspek utama ialah rejim Zionis Israel. Namun, masih tiada pengakuan rasmi daripada pihak rejim ketika artikel ini ditulis.
Walaupun mengejutkan, ancaman ke atas nyawa beliau sebenarnya telah pun dibayangkan oleh Netanyahu ketika mengancam untuk membunuh tiga pemimpin tertinggi Hamas. Ini susulan kejayaan membunuh Saleh Arouri, timbalan Haniyeh pada 2 Januari lalu.
Ancaman ini diikuti dengan pembunuhan 3 orang anak dan 4 orang cucu Ismail Haniyeh pada awal April dan 10 orang lagi ahli keluarga beliau termasuk kakaknya pada akhir Jun dalam dua serangan berasingan di Gaza.
Pembunuhan ini hampir pasti akan merencatkan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung ketika ini. Rundingan sudah pun terancam minggu lalu selepas Netanyahu bertindak menambah beberapa tuntutan baru ke atas pelan gencatan senjata yang sudah pun direstui oleh Presiden Biden.
Pembunuhan ini berkemungkinan akan mengurangkan selera Hamas untuk menerima gencatan senjata tatkala pemimpin tertinggi mereka diperlakukan dengan penuh biadab oleh rejim Zionis. Entah adab perundingan mana yang diguna pakai untuk membunuh ketua perunding daripada pihak seteru.
Pembunuhan ini juga tidak mustahil akan mencetuskan perang yang lebih besar di peringkat serantau. Selain Hamas, pembunuhan ini secara tidak langsung mensasarkan Iran.
Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Tertinggi Iran dalam kenyataan beliau berkata: “Rejim penjenayah dan pengganas Zionis membunuh tetamu kami, di rumah kami dan membuatkan kami berdukacita. Mereka akan kami hukum dengan hukuman yang berat.”
Presiden Iran yang baru, Masoud Pezeshkian pula menegaskan: “Republik Islam Iran akan mempertahankan integriti wilayahnya, kehormatan, kebanggaan dan maruahnya, dan akan membuatkan pengganas yang menceroboh menyesali tindakan pengecut mereka.”
Tidak dapat dipastikan apakah tindakan yang bakal Iran ambil. Yang pasti, dalam serangan balas terhadap serangan rejim Zionis ke atas Kedutaan Iran di Damsyik pada April, Iran telah melancarkan lebih 300 dron, peluru berpandu jelajah dan peluru berpandu balistik ke arah Israel. Serangan tersebut menyebabkan kerosakan ke atas dua pangkalan tentera Israel – Ramon dan Nevatim.
Pembunuhan ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Netanyahu untuk merencatkan gencatan senjata yang sedang berlangsung dan melengah-lengahkan usaha Presiden Biden untuk menamatkan perang ini dengan segera bagi memberi lebih peluang kepada Parti Demokrat memenangi Pilihan Raya Presiden November nanti.
Netanyahu juga mahu mengheret Amerika Syarikat supaya memberi komitmen yang lebih tinggi kepada usaha perang Israel dengan mencetuskan perang yang lebih besar di peringkat serantau melibatkan Iran dan sekutu-sekutunya – Hezbollah di Lubnan dan Houthi di Yaman.
Pembunuhan ini membayangkan Netanyahu seolah-olah dalam keadaan terdesak. Sepatutnya beliau berada di dalam keadaan yang selesa selepas dijemput hadir untuk berucap di Kongres Amerika Syarikat minggu lepas. Tetapi tidak begitu. Mengapa?
Sebenarnya, ucapan Netanyahu tempoh hari diboikot hampir separuh ahli kongres dan ahli senat daripada Parti Demokrat. Antara ahli berprofil tinggi yang tidak hadir ialah Kamala Harris, Timbalan Presiden, Nancy Pelosi, bekas Yang Di Pertua Dewan Kongres, Jim Clyburn, Bekas Ketua Wip dan Alexandria Ocasio- Cortez, Ahli Kongres New York.
Kehadiran beliau juga tidak mendapat liputan seperti yang beliau harapkan. Walaupun beliau telah memberikan ucapan yang cukup memukau di hadapan ahli kongres, media Amerika Syarikat dibanjiri dengan berita Biden menarik diri dari pilihan raya Presiden dan Kamala Harris menjadi calon presiden yang baru daripada Demokrat.
Tambah mengecewakan Netanyahu ialah Kamala Harris dalam satu sidang media telah memberikan ucapan yang menggugat matlamat perang beliau.
Harris berkata: “Kepada setiap orang yang telah menyeru kepada gencatan senjata, dan kepada setiap orang yang mahukan keamanan, saya melihat dan saya mendengar anda. Mari kita selesaikan perjanjian itu. Mari kita bawa pulang tebusan dan mari kita berikan bantuan yang amat diperlukan kepada rakyat Palestin.”
Harris dalam ucapannya turut menegaskan komitmen beliau kepada penyelesaian dua negara. Menurut beliau, penyelesaian dua negara adalah penyelesaian “yang dapat memastikan rakyat Palestin akhirnya dapat merealisasikan kebebasan, keselamatan dan kemakmuran yang sepatutnya mereka perolehi.”
Kenyataan ini pasti membuatkan Netanyahu panas punggung. Apalagi ia bertentangan dengan pendirian terbaru Israel terhadap penubuhan negara Palestin. 18 Julai baru-baru ini, parlimen Israel meluluskan resolusi menolak penubuhan negara Palestin. Langkah tersebut dilihat sebagai ancaman eksistensial kepada Israel dan rakyatnya.
Justeru, bagi menggugat perkembangan ini, Netanyahu telah mengambil risiko membenarkan operasi pembunuhan Ismail Haniyeh tanpa lampu hijau daripada Biden. Setiausaha Luar AS, Anthony Blinken dalam satu kenyataan mengesahkan AS tidak maklum dan tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Dengan pembunuhan ini, Netanyahu berharap gencatan senjata dapat dilengahkan dan cakap-cakap tentang mengiktiraf hak rakyat Palestin oleh pemimpin Amerika Syarikat dapat dihentikan. Netanyahu mahu perhatian penuh diberikan kepada matlamat perang beliau dan kepentingan Israel.
Tentang kemungkinan sama ada pembunuhan ini mampu menghapus atau melemahkan Hamas, Netanyahu pasti lebih maklum. Ini bukan kali pertama pemimpin tertinggi Hamas berjaya dibunuh.
Pembunuhan Syeikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi sebelum ini tidak berjaya melumpuhkan Hamas. Pembunuhan mereka sebaliknya telah melonjakkan Hamas ke tahap yang tinggi yang tidak pernah ia capai sebelum itu.
Pembunuhan dua tokoh tersebut pada tahun 2004 disusuli dengan pengunduran Israel dari Gaza pada tahun 2005 dan kemenangan Hamas dalam Pilihan Raya Palestin pada tahun 2006. Pilihan Raya inilah yang mengangkat Ismail Haniyeh sebagai Perdana Menteri Palestin.
Ismail Haniyeh kemudian memimpin kerajaan Palestin dengan penuh izzah sebelum kepimpinan beliau dipinggirkan di Gaza. Beliau cuba digulingkan oleh Israel melalui taktik kotor pada tahun 2007 tetapi cubaan tersebut berjaya digagalkan.
Beliau kemudian memimpin Gaza menempuh sekatan ekonomi oleh Israel dan serangan demi serangan ke atas Gaza pada 2008-2009, 2012 dan 2014. Semua serangan ini tidak berjaya melumpuhkan perjuangan Hamas. Hamas bahkan muncul lebih gagah dalam setiap pusingan dengan keupayaan roket yang lebih tinggi dan teknologi persenjataan yang semakin berkembang.
Ketokohan Haniyeh menyebabkan beliau kemudian diberi kepercayaan untuk mengambil-alih tampuk kepimpinan Hamas daripada Khalid Meshaal pada tahun 2017. Ya, Hamas mengamalkan demokrasi dalam memilih pemimpin. Khalid Meshaal ketika itu sudah pun menjawat jawatan berkhidmat selama dua penggal dan perlu melepaskan jawatan. Haniyeh adalah pengganti terbaik beliau.
Pemergian Haniyeh tidak akan melumpuhkan Hamas. Hamas tidak pernah ketandusan pemimpin. Apalagi penggal beliau sebenarnya akan tamat pada tahun 2025. Mahu tidak mahu beliau perlu melepaskan jawatannya tahun hadapan dan Hamas perlu mengangkat naik pemimpin yang baru. Ini salah satu cara Hamas mengekalkan dinamik kepimpinan dan perjuangan mereka.
Syahid adalah impian setiap pejuang Hamas. Matlamat perjuangan mereka adalah menang atau mati syahid. Berbekalkan semangat ini, Hamas tidak akan padam sehingga Palestin bebas dan merdeka.
Khalid Jimat, Ketua Pegawai Penyelidik, Palestine Centre of Excellence (PACE).