Prebet Muhammad Fakrullah Nazri.

MELAKA – Polis meminta orang ramai membantu mengesan seorang anggota tentera yang hilang sejak 38 hari lalu selepas keluar dari rumahnya untuk melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang.

Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, dilaporkan hilang oleh bapanya yang membuat laporan polis pada 20 Julai lalu apabila anaknya itu gagal dikesan selepas keluar rumah sejak 24 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu dikatakan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem berkenaan selepas tamat tempoh bercuti.

“Lelaki itu bagaimanapun dilaporkan tidak hadir bertugas selepas keluar rumah menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna hijau bernombor pendaftaran MBR 7230.

“Sehingga ke hari ini memasuki hari ke 38, anggota tentera berpangkat prebet itu gagal dihubungi dan dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, kali terakhir mangsa dilihat keluar  dengan berpakaian baju T berkolar warna biru dan seluar coklat serta berkasut sukan.

“Ciri fizikal lain adalah berambut pendek bewarna hitam, kulit hitam manis, berbadan kurus dengan anggaran tinggi 172 sentimeter,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Mejar Zulkeple Berahim di talian 010-505 2368 atau Balai Polis Tanjung Kling 06-351 1222. – MalaysiaGazette