Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan Solat Jenazah Ghaib Almarhum Ismail Haniyeh di tiga masjid Utama selepas solat Maghrib malam ini.

Solat berkenaan diadakan di Masjid Negara di sini, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menunaikan Solat Jenazah Ghaib tersebut sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel.

JAKIM dalam kenyatannya amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Ismail Haniyeh yang telah kembali ke rahmatullah pada 31 Julai lalu.

“Almarhum adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin.

“Semoga roh almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh,” kata Hakimah. – MalaysiaGazette