Dr. Hafidzi Mohd. Noor bergambar bersama Dr Ismail Haniyeh sewaktu pemimpin Hamas berkenaan berkunjung ke Malaysia pada 2020.

PEMBUNUHAN Ketua Biro Politik Hamas, Dr Ismail Haniyeh yang mengejutkan dunia semalam bukan hanya menimbulkan persoalan berkenaan masa depan konflik di Palestin.

Sebaliknya, tragedi berdarah itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan peperangan lebih besar di rantau Asia Barat.

Bagi mengulas lebih lanjut berkenaan situasi terbaharu itu, MalaysiaGazette mendapatkan pandangan Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Hafidzi Mohd. Noor.

Selain merupakan aktivis kemanusiaan, Dr Hafidzi uga merupakan pemerhati politik antarabangsa khususnya berkaitan konflik di Palestin.

MG: Pembunuhan Ismail Haniyeh sekali lagi menjadi detik hitam dalam konflik di Palestin. Bagaimana melihat tragedi terbaharu ini?

Dr. Hafidzi: Kematian al-Marhum Ismail Haniyeh menyusul selepas kematian tiga anak dan cucu-cucu belliau yang turut terbunuh dalam serangan Israel di Gaza.

Pembunuhan ke atas ahli keluarganya dalam beberapa bulan dan minggu yang lalu adalah isyarat yang dihantar oleh Israel bahawa beliau akan menjadi sasaran pembunuhan seterusnya oleh rejim Zionis itu.

Pembunuhan ini juga seiring pembunuhan ke atas Fuad Shukr yang merupakan komandan tertinggi kumpulan Hezbollah di Lubnan pada waktu yang sama.

Ini membayangkan bahawa serangan yang membunuh Ismail Haniyeh telah dirancang dengan rapi.

MG: Dengan terbunuhnya Ismail Haniyeh, apa nasib kepada usaha gencatan senjata dalam konflik Palestin-Israel?

Dr. Hafidzi: Syeikh Ismail Haniyeh sendiri menegaskan bahawa sasaran pembunuhan ke atas keluarganya sama sekali tidak akan merubah ketegasan pendiriannya untuk merundingkan gencatan senjata atau lebih tepat lagi memberhentikan kempen genosid Israel.

Bagi beliau, kematian ahli keluarganya sama sekali tidak akan mengendurkan kesungguhan untuk mendesak Israel menghentikan tindakan biadab membunuh penduduk Gaza yang dikutuk oleh masyarakat antarabangsa bahkan Israel telah didakwa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sebagai melakukan genosid.

Beliau juga menggarisbawahkan bahawa mahar bagi perjuangan untuk membebaskan tanah air adalah kematian dan beliau bersedia untuk membayarnya.

MG: Apakah pembunuhan Ismail Hinayeh ini akan melunturkan semangat perjuangan rakyat Palestin?

Dr. Hafidzi: Israel sama sekali tidak akan berjaya melunturkan kekuatan penduduk Gaza dan Palestin. Mereka sudah berjuang menentang penindasan dan pendudukan zionis selama lebih tujuh dekad.

Israel berhasrat untuk menghapuskan Hamas dengan meneruskan serangan membabi tuli. Dengan membunuh pemimpin nombor satu Hamas, mereka menjangkakan semangat penduduk Gaza akan luntur.

Jika Israel berharap terus kepada ilusi ini, mereka akan mengulangi kesilapan besar yang mereka lakukan pada tahun 2004.

Tindakan membunuh dua pimpinan utama Hamas ketika itu hanya menjadi pemangkin yang menyatukan penduduk Gaza sehingga mereka memilih Hamas untuk membentuk Kerajaan di Gaza.

Begitu kukuhnya pertahanan penduduk Gaza sehingga kepungan yang melumpuhkan ekonomi dan sekatan pergerakan selama 17 tahun tidak sedikit pun menjejaskan ketahanan mereka.

Serangan bertalu-talu dengan persenjataan tercanggih secara bersiri pada tahun 2009, 2012 dan 2014 juga gagal untuk mematahkan keampuhan pertahanan mereka.

MG: Apakah Israel menjangkakan dengan pembunuhan Ismail Hinayeh ini, kesudahan perang di Palestin akan berbeza?

Dr. Hafidzi: Terbunuhnya seorang pemimpin akan siap diganti dan kekosongan itu akan segera di isi dan Israel tidak menyedari ini.

Perjuangan yang suci dan berteraskan prinsip yang mulia tidak akan pernah ketandusan pemimpin dan kehilangan hala tuju.

Seorang Ismail Haniyeh akan diganti oleh ribuan ‘Ismail Haniyeh’ yang telah siap siaga ibarat batu bata yang dibakar utuh yang tidak akan lebur.

Sebaliknya Israel akan berhadapan dengan mara bahaya yang tidak dijangka kerana para pemuda berjuang dengan cinta yang tidak pernah terpadam terhadap watan yang diceroboh dan maruah yang diperleceh musuh.

30 tahun dahulu kanak-kanak seperti Farish Odeh berdepan dengan kereta kebal membidiknya dengan batu. Kini kanak-kanak itu sudah dewasa dan berjaya memusnahkan lebih dari 1,000 kereta kebal dengan serangan jarak dekat.

Mereka tidak pernah gentar dengan kereta kebal yang mereka hadapi sewaktu kanak-kanak dan kini musnah diumpan mudah.

MG: Bagaimana dunia seharusnya menanggapi kejahatan terbaharu Israel ini?

Dr. Hafidzi: Seluruh dunia yang menjunjung hak kemanusiaan dan keadilan pasti mengikuti perkembangan ini dengan penuh prihatin.

Peristiwa tragis ini semakin menyerlahkan hipokrasi Amerika Syarikat (AS) yang bermuka-muka dengan negara penyangak Israel.

Pembunuhan Ismail Haniyeh berlaku disaat kejayaan negara China berjaya menyatukan Hamas dan Fatah dan kesemua 14 fraksi pejuang Palestin.

Ini adalah satu perkembangan yang memberikan kelebihan kepada perjuangan Palestin.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa melalui Pendapat Penasihat (Advisory Opinion) memutuskan Israel telah menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur secara haram.

Meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan resolusi 242 pada tahun 1967 di mana Israel telah menceroboh Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan diulangi sekali lagi pada tahun 1973 melalui Resulusi 338 namun Keputusan ICJ ini memberikan suara yang lebih berkesan kepada masyarakat antarabangsa.

MG: Apa yang diharapkan Dr. dalam melangkah ke hadapan selepas insiden berdarah ini?

Dr. Hafidzi: Al-Marhum Ismail Haniyeh sempat mengisytiharkan 3 Ogos 2024 sebagai Global Day of Action (Hari Bertindak Global) untuk menghentikan genosid di Gaza dan membebaskan para tahanan.

Ini adalah satu seruan yang wajar disambut oleh seluruh dunia yang cintakan keamanan.

Ia adalah satu bukti bahawa almarhum Ismail Haniyeh adalah seorang yang komited dengan perjuangan untuk mengembalikan maruah hak rakyat Palestin dan kemerdekaan tanah air mereka.

Semoga perjuangan beliau terus diwarisi oleh generasi hari ini dan akan datang sehingga Palestin dibebaskan dari ‘Sungai ke Segara’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast