Mahkamah Sesyen KL mendapati Datuk Peter Anthony terhadap pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), tujuh tahun lalu.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menetapkan 16 Ogos depan bagi menetapkan tarikh keputusan berhubung rayuan Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Tarikh pengurusan ditetapkan pada 16 Ogos dan difahamkan panel hakim akan menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan itu.

Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Peter yang berjawatan Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didakwa telah memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jel maksimum tujuh tahun dan denda.

Peter mengemukakan representasi pertama namun ditolak Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Mei tahun ini.

Beliau memohon AGC menerima representasinya, supaya permohonan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda, dibenarkan.

Sebelum ini, Peter melalui peguamnya, Datuk Nicholas Kow Eng Chuan telah memohon kepada mahkamah supaya rayuannya dapat didengari lebih awal supaya beliau dapat membersihkan nama sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast