Solat ghaib jenazah Ismail Haniyeh akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – – Semua masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat jenazah ghaib ke atas Ketua Biro Politik Hamas, Allahyarham Ismail Haniyeh selepas solat Maghrib, malam ini.

Masjid-masjid tersebut ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“JAKIM menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar meminta semua masjid bawah selian Jakim dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan solat jenazah ghaib ke atas Allahyarham Ismail Haniyeh.

“​Saya mewakili seluruh warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berasa amat dukacita atas laporan berita akan pemergian ke rahmatullah Almarhum Ismail Haniyeh.

“Sesungguhnya Almarhum adalah seorang pemimpin rakyat Palestin telah memberikan sumbangan bakti dan jasa kepada tindakan serta usaha mempertahankan tanah Palestin dan juga hak-hak rakyat Palestin yang ditindas selama ini. Semoga segala baktinya dicatat sebagai amalan soleh di sisi Allah Subhanahu Wataala,” ujarnya. – MalaysiaGazette