Timbalan Presiden Pena, Mohd. Khair Ngadiron.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyifatkan usaha kerajaan memperkenalkan syarat pelesenan media sosial dan perkhidmatan pesanan berasaskan internet sebagai langkah tepat.

Timbalan Presiden Pena, Mohd. Khair Ngadiron berkata, ia perlu dilakukan untuk memastikan platform media sosial dengan jumlah pengikut yang ramai bertanggungjawab dalam memuat naik bahan di platform mereka.

Jelas beliau, ia juga bagi memastikan platform media sosial itu tidak lepas tangan sekiranya timbul isu-isu yang menyentuh sensitiviti yang dimuat naik khususnya berkaitan isu 3R (agama, kaum dan raja).

“Ini bukan soal cubaan menyekat kebebasan bersuara atau menafikan mana-mana hak rakyat, tetapi untuk memastikan rakyat lebih bertanggungjawab dengan apa yang disuarakan mereka.

“Kita sememangnya bebas untuk bersuara, tetapi itu tidak bermaksud kita boleh memfitnah, mengadu domba atau mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga boleh melanggar sensitiviti sesuatu perkara,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khair turut menggesa pihak yang mengkritik usaha tersebut sehingga mendakwa kerajaan bertindak seperti diktator supaya menilai dengan lebih teliti berkenaan dasar baharu berkenaan.

Jelas beliau, dasar itu secara jelas tidak memaksudkan mana-mana individu atau rakyat sebaliknya ditujukan kepada platform media sosial dengan jumlah pengguna melebihi lapan juta orang.

“Sebenarnya di mana-mana negara pun penyedia perkhidmatan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa-apa bahan yang dimuat naik di platform mereka.

“Mereka tidak boleh mengelak dengan mendakwa hanya menyediakan platform dan membiarkan pengguna untuk bebas menyatakan apa sahaja,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi.

Langkah yang bertujuan menangani jenayah siber itu termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, langkah itu mendapat kritikan banyak pihak dengan ada yang menilai kerajaan hari ini sebagai diktator apabila dilihat cuba menyekat kebebasan media dan hak bersuara rakyat. – MalaysiaGazette