KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pemain beregu negara, Pearly Tan-M Thinaah yang mencipta sejarah selepas mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut meminta pasangan berkenaan kekal tenang serta fokus dalam pertandingan seterusnya dan berharap memperoleh kemenangan.
“Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik. Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Kejayaan penuh sensasi pasangan itu dilakar selepas mereka menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam perlawanan peringkat suku akhir di Porte De La Chapelle Arena, Paris.
Meskipun berdepan cabaran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik edisi lalu, Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah apabila menang dua set langsung dengan keputusan 21-12, 21-13 dalam masa 42 minit.
Terdahulu, Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita kedua negara yang berjaya melangkah ke suku akhir di pentas Sukan Olimpik selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Namun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir apabila tewas kepada pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.
Sementara itu, Pearly-Thinaah bakal berdepan cabaran getir di peringkat separuh apabila akan menentang pasangan China, Qing Chen-Yi Fan yang berada pada ranking nombor satu dunia.
Qing Chen-Yi Fan mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan pemain adik beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva juga dengan dua set langsung, 21-15, 21-8. – MalaysiaGazette