TELUK INTAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dalam nahas yang berlaku di Kilometer 27 Jalan Langkap-Kampar awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden yang menimpa mangsa berusia 17 tahun itu sekitar jam 1.31 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian, remaja terbabit yang tidak memiliki lesen memandu menunggang motosikal milik bapanya.
“Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Honda RS-X berwarna biru yang ditunggangi mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Langkap menuju ke Kampar.
“Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian motosikal yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas di kiri bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, mangsa telah terjatuh dari motosikal dan mengalami cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini telah dibawa ke Hospital Teluk Intan dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan kecemasan.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.
Ahmad Adnan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013- 912 6959.
“Justeru, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan supaya memantau serta mengawal anak masing-masing supaya tidak menunggang motosikal tanpa lesen dan tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram.
“Ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka memandu kenderaan atau menunggang motosikal di bawah had umur ditetapkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) APJ 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. -MalaysiaGazette