Bangunan Angkasapuri Kota Media di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR- RTM menepis dakwaan sebuah portal media yang mengatakan stesen itu menyiarkan perlawanan Israel menentang Nepal secara langsung tanpa menyiarkan perlawanan Lee Zi Jia menentang Pablo Abian (Sepanyol), 31 Julai lalu.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menegaskan RTM sama sekali tidak akan berkompromi dalam menyiarkan sebarang perlawanan melibatkan pemain Israel di semua platform RTM.

“RTM menyiarkan perlawanan Lee Zii Jia secara langsung di Saluran Okey pada 31 Julai 2024 pukul 8.50 malam hingga 9.30 malam (MyTV, Astro & RTMKLIK).

“Sementara perlawanan badminton yang melibatkan pemain Israel menentang Nepal secara tidak sengaja melalui feed saluran terbuka di RTMKlik Saluran Olimpik 4 (salah satu daripada 6 saluran khas Olimpik) kurang dari 5 minit.

“Pasukan produksi mengambil tindakan segera menukar ke acara lain iaitu acara bola baling,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambah Suhaimi, RTM juga memastikan agar sukan utama yang menjadi tontonan rakyat Malaysia tidak ketinggalan untuk mendapat siaran secara percuma.

Pihak produksi sentiasa membuka saluran khas untuk menerima bahan dari Paris 2024 terutama sekali bahan siaran di gelanggang badminton.

RTM selaku Penyiar Rasmi Sukan Olimpik Paris 2024 menyiarkan secara langsung melalui dua saluran utama iaitu Saluran TV Okey dan Saluran Sukan dan enam saluran khas di RTMKlik bagi memenuhi hasrat rakyat Malaysia yang mahu merasai kehangatan Sukan Olimpik dengan lebih dekat bermula 27 Julai 2024 sehingga 12 Ogos 2024.

Saluran utama untuk Sukan Olimpik Paris 2024 adalah di saluran OKEY dan saluran Sukan RTM.

Enam saluran khas Olimpik merupakan saluran tambahan over-the- top (OTT) di RTMklik. Semua program dibawakan secara percuma hanya untuk tontonan rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette