Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya, hari ini. - Pic: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju supaya pihak polis membuka semula kertas siasatan berkait kematian mendiang Teoh Beng Hock, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri turut memberi jaminan siasatan kali ini akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak khususnya mengambil kira pandangan Mahkamah Rayuan berhubung kes itu pada 5 September 2014.

Tambah Anwar, beliau bertemu ahli keluarga mendiang Beng Hock di Putrajaya, hari ini, dan berbicara panjang bersama ibu bapanya, Teng Shuw Hoi dan Teoh Leong Hwee, di samping anak mendiang, Teoh Er Jia dan adik mendiang, Teoh Lee Lan.

“Saya mendengar segala keluhan dan beberapa permintaan daripada pihak keluarga.

“Saya telah lama mengikuti rapat kes ini dan memahami kesedihan serta penderitaan keluarga yang telah sekian lama memperjuangkan keadilan buat mendiang,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bertemu keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Putrajaya, hari ini. – Pic: FB Anwar Ibrahim

Sebelum ini, keluarga Beng Hock mendesak kerajaan mempercepat proses siasatan kematian mendiang yang sudah berlanjutan sehingga 15 tahun.

Menurut mereka, jangka masa yang begitu lama untuk melengkapkan siasatan kematian Beng Hock adalah tidak boleh diterima.

Pada 16 Julai 2009, Beng Hock, 30, ditemukan mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 14 bangunan itu yang ketika itu menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011 memutuskan kematiannya kerana membunuh diri berikutan siasatan yang sedang dijalankan SPRM.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2014 menolak keputusan terbuka yang dibuat koroner sebaliknya memutuskan Beng Hock mati selepas jatuh dari bangunan yang disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali termasuk pegawai SPRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast