PEKAN – Semua masjid di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pahang akan menunaikan solat sunat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas, Ismail Hanieyah selepas solat Jumaat esok.
Mufti Pahang, Datuk Dr. Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, kesemua 696 masjid di Pahang telah dimaklumkan mengenai perkara itu menerusi surat setelah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan menyelaras perlaksanaannya melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing.
Semalam, Haniyeh meninggal dunia dalam serangan di Iran selepas Israel menyerang kediaman pemimpin hamas itu di Teheran.
Haniyeh berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.
Sementara itu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad mendoakan agar roh pemimpin Islam itu ditempatkan bersama syuhada dan sempat berkongsikan latar belakang Ismail Hanieyah menerusi kenyataan.
”Beliau dilahirkan di pesisiran Gaza pada 1963. Berhijrah ke sini dari Asqalan. Lepasan Faktuliti Tarbiah Jurusan Bahasa Arab di Universiti Islam Gazzah tahun 1986.
”Pernah dilantik sebagai Ketua Pelajar pada waktu pengajiannya. Pada 1987, 1988 dan 1989 pernah ditangkap dan pernah juga dipenjarakan oleh Israel hampir empat tahun.
”Kemudian dibuang negeri ke Lebanon pada Disember 1992. Terakhir beliau dipilih mengetuai Hamas sehinggalah diberitakan beliau syahid,” katanya. – MalaysiaGazette