Tun Dr Mahathir Mohamad .

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa sedih dan marah atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.

Menurut beliau, pembunuhan Haniyeh akan kekal sebagai peringatan betapa pariahnya negara Israel dan semua pihak yang mendokong regim Zionis itu adalah hipokrit dan pengganas sebenar.

Jelasnya, pembunuhan `extra-judicial’ Israel ke atas pejuang kebebasan Palestin menunjukkan betapa sombong, kejam dan kejinya regim Zionis itu.

“Saya berasa sangat bangga dan bertuah kerana mengenali Ismail Haniyeh selama ini.

“Perjuangan tanpa mengenal penat lelah dalam mendapatkan kebebasan Palestin yang ditunjukkan oleh Ismail Haniyeh adalah sesuatu yang seharusnya diteladani oleh para pejuang kebebasan.

“Palestin dan seluruh dunia telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan seorang pejuang kebebasan,” katanya dalam ucapan takziah yang disiarkan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, media Barat dan sesetengah pemimpinnya berterusan mengutuk Hamas dan Haniyeh sebagai pengganas ketika Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan pendatang haram Yahudi telah melakukan penindasan terhadap rakyat Palestin sejak sekian lama.

Ujar beliau, sikap hipokrasi jijik Barat dan sekutu mereka itu adalah sangat memualkan.

“Saya sangat marah kerana dunia Barat yang sepatutnya boleh melakukan perubahan memilih untuk berdiam diri, malah berpihak kepada Israel dalam tindakan keganasan dan genosid yang dilakukan regim Zionis itu terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Dr. Mahathir, beliau masih berkeyakinan meskipun Israel mungkin telah membunuh Ismail Haniyeh, namun perjuangan pemimpin Hamas berkenaan tidak akan mati dan rakyat Palestin akan memastikan kematiannya tidak menjadi sia-sia.

Tambah beliau, regim Zionis mungkin telah membunuh Ismail Haniyeh, tetapi bukan idea dan apa yang diperjuangkan beliau.

“Kepada keluarga Ismail Haniyeh, terimalah ucapan takziah saya yang sedalam-dalamnya atas kehilangan seorang lelaki yang luar biasa.

“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang kepada keyakinan.

“Semoga Allah SWT mengampuninya, memberikannya syurga dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

“Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast