Pearly Tan-M Thinaah

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemain beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang berjaya melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menurut beliau, sejarah tercipta buat negara hari ini dengan kemenangan beregu wanita berkenaan yang bermain dengan cukup hebat dan mendebarkan.

“Siapa yang tengok tadi dapat lihat Pearly mengalami kecederaan, semangat juang beliau telah membuktikan bahawa beliau dan Thinaah berupaya menamatkan perlawanan dengan cemerlang.

“Anda memberikan kami petang ini tangisan kegembiraan. Kami rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong perjuangan kalian!” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Kejayaan penuh sensasi oleh Pearly-Thinaah itu dilakar selepas mereka menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam perlawanan peringkat suku akhir di Porte De La Chapelle Arena, Paris, sebentar tadi.

Meskipun berdepan cabaran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik edisi lalu itu, Pearly-Thinaah tidak berdepan masalah apabila menang dua set langsung dengan keputusan 21-12, 21-13 dalam masa kira-kira 42 minit. – MalaysiaGazette