Pelakon, Hafidz Roshdi, bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader (kiri) selepas sebutan kes penceraian dengan Nurul Shuhada Mat Shukri ketika di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu menetapkan 13 Ogos ini bagi sebutan semula kes pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi yang sedang berdepan dakwaan mencederakan bekas isterinya 13 Mac tahun ini.

Bagaimanapun, bekas isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri telah menarik balik laporan baru-baru ini.

Hari ini, Majistret Nurul Mardhiah Mohammed Redza menetapkan tarikh itu selepas pendakwaan memaklumkan mahkamah pihaknya masih belum menerima arahan selepas penarikan balik kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa’ Zamri kemudian memohon dua minggu dari tarikh hari ini bagi sebarang perkembangan kes.

Manakala peguam mewakili pelakon itu, Datuk Akberdin Abdul Kader tidak membantah permohonan tersebut.

“Anak guam saya hanya mahu isu ini berakhir dengan baik. Tempoh dua minggu ini rasanya memadai untuk sebarang keputusan,” katanya hari ini.

Pada 12 Julai lepas, peguam mewakili Nurul Shuhada mendedahkan anak guamnya sudah menarik balik kes pukul difailkan terhadap Hafidz pada 6 Julai lalu.

Mahkamah dimaklumkan penarikan kes itu dilakukan secara sukarela tanpa sebarang paksaan.

Difahamkan kedua-dua pihak bersetuju untuk selesai masalah mereka secara baik tanpa sebarang provokasi.

Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak pada Mac tahun ini yang dilakukan berdekatan Tol Sungai Buaya Hulu Selangor.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pelakon popular itu berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda.

Kedua-dua mereka mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 namun mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata, Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian berkahwin dengan Athira Yuhada di Glenmarie, Shah Alam pada 15 Disember lalu. – MalaysiaGazette