KLUANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini sebenar tadi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu perkhabaran duka.

“Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian‎ Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota, YB Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Pemergian YB Datuk Sharifah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi.

“Jasa dan bakti beliau untuk negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan semoga Allah SWT menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ujar beliau menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook miliknya hari ini.

Sharifah Azizah, 63, sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HEBHK akibat pendarahan dalaman.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Kluang ialah bekas Ketua Wanita UMNO Johor.

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah ialah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu.- Malaysia Gazette