Beberapa kolam utama di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru, disahkan Jabatan Kimia mengandungi bakteria e-coli, semalam.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri wajar mengambil tindakan terhadap Damansara Asset kerana gagal menyelenggarakan Pengurusan Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin di sini sehingga menyebabkan 19 pelajar mengalami masalah kesihatan.

Ketua Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Parlimen Johor Bahru, Rasid Abu Bakar berkata, ini kerana kemudahan berkenaan masih di bawah tanggungjawab serta seliaan syarikat tersebut dan belum diserah kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Beliau berkata, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah sepatutnya tidak sekadar meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan itu sebaliknya mengambil tindakan tersebut.

“Tindakan harus diambil ke atas mana-mana kontraktor yang mengambil tender-tender awam dalam negeri Johor tetapi tidak menepati spesifikasi dan kualiti yang telah
ditetapkan oleh kerajaan negeri.

“Ini adalah isu keselamatan dan kesihatan bangsa Johor. YB Hairi seharusnya mengambil tindakan terhadap Damansara Asset. Jika selepas berbelanja wang rakyat YB Hairi hanya zahirkan rasa kecewa, lebih baik tak perlu ada Exco.

“Seorang Exco seharusnya mengambil tanggungjawab dalam hal ini dan bukannya lepas tangan dengan alasan tidak berdaya, apatah lagi YB Hairi juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rasid Abu Bakar

Khamis lalu, 19 pelajar daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 terpaksa dikejarkan ke hospital selepas muntah-muntah, demam dan kulit gatal dipercayai terkesan dengan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.

Jabatan Kimia kemudian mengesahkan kandungan air dalam kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan mengandungi bakteria escherichia coli (e-coli).

Mohd Hairi kemudian melahirkan rasa kecewa dan menyelar tindakan pihak terbabit yang lepas tangan apabila tidak menyelenggara pusat akuatik tersebut sebelum digunakan bagi penganjuran kejohanan berkenaan.

Beliau turut mendakwa berlaku ketirisan dalam pengurusan pusat akuatik tersebut selain mahu pihak yang bertanggungjawab mengambil iktibar bagi memastikan kejadian berkenaan tidak berulang.

Mengulas lanjut, Rasid berkata,fasiliti berkenaan dibina dan dinaik taraf bersama-sama dengan fasiliti lain untuk anjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 menelan kos yang tinggi.

Katanya, walaupun Sukma 2020 tertunda disebabkan Covid-19, lebih RM468 juta telah dibelanjakan untuk membangunkan fasiliti-fasiliti berkenaan pada 2020 di bawah seliaan Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Johor ketika itu.

Selain menggunakan kaedah sewaan kepada umum untuk menampung kos penyelenggaraan, beliau berkata, kerajaan Johor juga telah meluluskan RM6.4 juta pada Mei 2021 untuk menyelenggara fasiliti-fasiliti berkenaan.

“Jika selepas berbelanja wang rakyat sebanyak itu YB Hairi hanya zahirkan rasa kecewa, lebih baik tak perlu ada Exco. Seorang Exco seharusnya mengambil tanggungjawab dan bukannya lepas tangan dengan alasan tidak berdaya.

“Kita tidak mahu persepsi bahawa mana-mana entiti yang melakukan ketirisan di Johor hanya perlu mengambil iktibar.

“Kita harus menerapkan budaya menyelenggara yang lebih baik di Johor. Wang rakyat bukanlah untuk dibelanja sesuka hati, tiada gunanya ratusan juta ringgit peruntukan demi peruntukan diluluskan kerajaan negeri jika ia tidak diterjemah dalam kualiti dan berlaku ketirisan,” tegasnya.- MalaysiaGazette