Gambar Hiasan

SABAK BERNAM – Dalam kesibukan ibu bapa dan penjaga seluruh negara menghantar anak-anak mendaftar ke institusi pengajian tinggi minggu ini, kolej komuniti turut membuat persiapan yang sama bagi tujuan memenuhi keperluan pengajian TVET untuk generasi sekarang.

Tidak terkecuali pasangan arkitek, mengambil peluang menghantar anak mereka, Muhammad Alif Iskandar, 20, ke Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB), Selangor untuk menyambung pengajian dalam Diploma Teknologi Senibina.

Kolej Komuniti Sabak Bernam melalui kenyataannya berkata, pasangan berkenaan, memilih institusi berkenaan kerana peluang dalam sektor teknologi ‘Building Information Modelling’ (BIM) dilihat sangat cerah pada masa hadapan.

Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) merupakan institusi rintis di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang menerapkan pendidikan dan teknologi BIM di dalam silibus mereka.

Difahamkan KKSB merupakan satu institusi pendidikan yang mengetengahkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan merupakan antara kolej komuniti terawal ditubuhkan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Ibu kepada Muhammad Alif Iskandar, Intan Norshahrah berkata, keperluan teknologi BIM dalam silibus pendidikan sekarang amat diperlukan dan mendapat permintaan yang tinggi dalam industri.

KKSB turut mendapat permohonan yang tinggi daripada warga pelajar untuk menyambung pengajian dalam Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan (SPK) dan Sijil Fesyen dan Pakaian (SFP) khusus bagi mereka yang ingin meluaskan kemahiran jahitan.

Ketua Program Diploma Teknologi Senibina KKSB, Ts. Muhamad Bukhari Othman berkata, kebolehpasaran graduan KKSB adalah 100 peratus.  – MalaysiaGazette