Anwar berkongsi gambar pertemuan beliau dengan Srettha Thavisin di Australia. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin akan mengadakan Lawatan Kerja ke Sungai Golok, Narathiwat, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan esok.

Wisma Putra berkata, tujuan utama lawatan adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok yang merupakan antara inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin utama itu dijangka akan mengadakan perbincangan mengenai isu-isu dua hala.

Ini termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand dan inisiatif kesalinghubungan yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan.

Turut akan dibincangkan adalah Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Mentrri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Lawatan itu adalah susulan pertemuan kedua-dua pemimpin di Sadao, Thailand pada November 2023.

Ia juga mempamerkan komitmen Malaysia dan Thailand untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.- MalaysiaGazette