Bangunan Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 15 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang didakwa melakukan peras ugut ke atas warga asing baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini.

Sebaliknya kedua-dua tertuduh itu, Koperal Nik Ridzuan Nik Man dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada warga Myanmar, Wai Lin Phyo kononnya mangsa akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM300 miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Taming Sari 1, Balakong, di sini pukul 11.30 pagi pada 28 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Jika sabit salah, seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh.

Namun kedua-dua mereka telah memohon untuk jaminan itu dikurangkan memandangkan mempunyai tanggungan keluarga.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM4,000 setiap seorang dan 3 September depan untuk sebutan kes.

Minggu lepas tular video dua anggota polis disyaki melakukan pemerasan ke atas warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang.

Mangsa juga difahamkan telah membuat laporan polis berhubung pemerasan tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast