Seorang lelaki dan wanita warganegara China ditahan dalam Operasi Khas di Genting Highlands.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan dua warga China dalam serbuan di tiga lokasi sekitar Genting Highlands, Pahang, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Operasi Khas yang dilakukan pada jam 1.39 petang itu berjaya menahan seorang lelaki dan seorang Wanita warganegara China masing-masing berumur 45 dan 32 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, wanita tersebut telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) yang diberikan manakala lelaki yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Modus operandi suspek adalah menjalankan aktiviti penjualan rokok China yang diseludup secara haram dan mensasarkan warga China yang datang ke Genting Highlands.

“Harga jualan adalah di antara RM20 hingga RM30 untuk sekotak rokok pelbagai jenama daripada China dan telah beroperasi selama lima bulan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ruslin, turut dirampas dalam operasi itu ialah 111 kotak rokok, 102 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki diseludup secara haram dan wang tunai sebanyak RM600.00

Kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Per.39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.

Tegas JIM, pihaknya tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.