Hibatullah (tengah) menyiram di pusara Sharifah Azizah selepas selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah, Kluang, hari ini.

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain biasanya sedaya upaya melakukan yang terbaik membantu menyelesaikan masalah penduduk di kawasannya.

Anak sulungnya, Wan Mohd Hibatullah Abu Bakar, 40, berkata, allahyarham amat komited dan tidak mahu menghampakan mereka yang datang bertemunya untuk meminta pertolongan.

“Dia suka tolong orang, apa sahaja dia akan bantu selagi mampu. Dia takkan biarkan (tanpa dibantu), dia akan cuba bantu sampai dapat, itulah Datuk Sharifah Azizah, seorang yang kuat,” katanya ketika ditemuidi rumah Allahyarhamah di Jalan Ahmad Khan di sini hari ini.

Wan Mohd Hibatullah berkata, sebelum meninggal dunia, ibunya sempat berpesan supaya menjaga adik-adiknya.

“Ibu saya pesan jaga adik-adik, walau macam mana pun saya kena jaga adik-adik sebab saya yang tua dan harap saya lebih kuat daripada adik-adik,” katanya.

Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada pukul 12.32 tengah hari tadi.

Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Johor (2015-2018).

Beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar mulai 2018 hingga 2022 lalu.

Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathus Sakinah Kampung Tengah di sini pukul 5.25 petang tadi dalam keadaan gerimis dan dihadiri lebih 300 ahli keluarga, saudara mara dan kenalan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Mahkota meninggal dunia