KUALA LUMPUR – Sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangandan Industri (MITI), International Cultural Trade Collaboration Centre (ICTCC) dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) mengadakan kerjasama strategik memperkasa industri halal negara.
Kedua-duanya telah memperkukuhkan hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak baru-baru ini.
Kolaborasi itu merupakan komitmen ICTCC kepada HDC bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan 300 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menembusi pasaran halal di China sekaligus membuka peluang meneroka pasaran yang lebih meluas.
ICTCC merupakan inisiatif korporat swasta yang ditubuhkan melalui beberapa entiti perniagaan dan pertubuhan melibatkan Syarikat Cangkat Cendana Group Sdn. Bhd. Topwork Global (M) Sdn. Bhd. Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Global Networks (Beijing) IIC Services Co. Ltd.
Pengerusi ICTCC, Datuk Suhaidi Sulaiman berkata, ICTCC menyediakan PKS dengan akses kepada ekosistem pasaran digital, ruang simpanan gudang bebas cukai, peluang pembiayaan perniagaan, padanan perniagaan B2B dan B2C serta peluang-peluang lain di pasaran China dan lain-lain negara.
“ICTCC berada di Zon Ekonomi Bebas, Beijing Daxing International Airport (Langfang) dan bakal dipenuhi syarikat-syarikat PKS mulai September 2024 dan dijangka beroperasi secara penuh pada November ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, China merupakan destinasi eksport produk halal yang utama iaitu RM6.25 bilion atau bersamaan 11.6% daripada RM54 billion eksport halal negara pada tahun 2023.
Kerajaan melalui MITI dan HDC sentiasa berusaha meningkatkan jumlah PKS berstatus halal yang berupaya mengeksport ke negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang tinggi ini menerusi pelbagai platform seperti akses pembiayaan, pasaran, latihan, perundingan dan pemasaran digital.”
Sempena pengumuman kolaborasi strategik tersebut, ICTCC yang diwakili oleh Suhaidi baru-baru ni turut menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada HDC sebagai rakan strategik Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini. – MalaysiaGazette