Tangki IBC yang digunakan untuk mengisi minyak masak paket.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merampas 2,750 kilogram minyak masak paket selepas menyerbu sebuah premis di Jalan Sri Purnama, Pandan di sini malam tadi.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan pada pukul 10 malam dilakukan selepas menerima aduan Pasukan Polis Marin (PPM) Johor Bahru berkaitan aktiviti penyelewangaan tersebut.

“Pemeriksaan yang dilakukan sepasukan Penguat Kuasa KPDN Johor menjumpai minyak masak paket 1 kilogram (kg) yang dianggarkan sebanyak 2,150 paket telah dipotong dan dikoyak disyaki dimasukkan ke dalam tiga buah tangki IBC.

“Pada masa yang sama, sebanyak 600 paket minyak masak paket 1kg yang belum dipotong juga dijumpai dalam premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an yang merupakan pemilik premis ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tidak mempunyai sebarang dokumen untuk tujuan penyimpanan dan pemasaran minyak
masak paket tersebut.

Sehubungan itu katanya, Penguat Kuasa KPDN Johor menyita 600 paket minyak masak paket 1kg, 2,150 plastik lutsinar minyak masak paket 1kg yang sudah dipotong, tiga buah tangki IBC mengandungi minyak masak beranggaran 3,000 liter dan sebuah lori.

Lilis Saslinda memberitahu, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM21,750 dan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang merupakan pemilik premis ditahan untuk membantu siasatan.

Kes itu katanya , akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, jika sabit kesalahan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lim tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesal ahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” tambahnya.

Siasatan lanjut juga akan dilakukan bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak masak paket itu.

Ini termasuk sumber minyak masak paket diperoleh dan edaran mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, katanya.

“KPDN Johor menegaskan akan bertindak pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan subsidi barang kawalan demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Selain itu katanya, KPDN Johor mengalu-alukan aduan awam dan menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat bagi memudahkan rakyat mengemuka aduan dan maklumat.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN melalui
Whatsapp 019- 848 8000/019-279 4317; Portal e Aduan KPDN iaitu [email protected], Call Centre 1-800-886-800 dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.- MalaysiaGazette