PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar yang sedang digubal di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini akan merubah landskap bandar negara yang usang kepada wajah perbandaran baharu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, RUU itu akan memberi lebih autonomi kepada usaha membangunkan semula bangunan-bangunan lama khususnya yang tidak lagi selamat untuk didiami bagi dibangunkan semula.
Beliau mengambil contoh di bandar raya Kuala Lumpur yang mana terdapat banyak bangunan lama melebihi jangka hayat 70 tahun serta bangunan sebelum era kemerdekaan negara yang usang, namun masih didiami.
Bagaimanapun, ujar Kor Ming, KPKT terikat untuk membangunkan semula bangunan-bangunan lama yang daif itu kerana memerlukan persetujuan 100 peratus daripada pemiliknya berdasarkan Akta 757 Seksyen 57 (6) (Akta Pengurusan Strata).
“Saya mengambil contoh sebuah rumah flat dengan 500 pemilik, jika ada hanya seorang pemilik tidak bersetuju untuk bangunan itu dibangunkan semula, maka ia tidak boleh dilakukan. Jadi, adakah ini sesuatu yang adil?
“Adakah kepentingan seramai 499 pemilik lain perlu diketepikan hanya kerana seorang pemilik yang tidak bersetuju ini? Tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang,” katanya dalam sesi eksklusif Pencapaian Separuh Tahun KPKT bersama media, di sini, hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Kor Ming berkata, RUU itu kini sedang giat digubal termasuk dengan menjadikan akta perbandaran di negara maju lain seperti di Hong Kong; Shanghai, Tokyo; New York dan Singapura sebagai perbandingan dan rujukan.
Jelas beliau, seperti di Singapura misalnya, bangunan berusia bawah 10 tahun hanya memerlukan persetujuan 90 peratus pemiliknya untuk dibangunkan semula, manakala persetujuan 80 peratus diperlukan bagi bangunan berusia 30 tahun ke atas.
Di Tokyo pula, katanya, hanya memerlukan 60 peratus persetujuan daripada pemilik, manakala hanya dua pertiga persetujuan penduduk diperlukan untuk membangunkan semula bangunan lama di Shanghai.
“Tetapi di Malaysia, kita perlukan sehingga 100 peratus persetujuan penduduk, sebab itu bandar-bandar di negara kita berwajah usang kerana banyak bangunan lama,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming menambah, penggubalan RUU itu kini sudah melibatkan sebanyak 82 perbincangan atau libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Jelasnya, garis panduan RUU itu juga sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri dan berharap dapat dibentangkan serta diluluskan Dewan Rakyat secepat mungkin.
“Kita yakin apabila RUU ini diluluskan kelak, ia akan menjadi pencapaian terbesar dan legasi terbaik KPKT kerana RUU ini sangat penting dan bakal menjadi `game changer’ kepada usaha merubah landskap perbandaran negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette