Tangkap layar rombongan guru agama JAIPk ke sebuah kuil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

IPOH – Kerajaan negeri Perak telah memanggil Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) bagi menjelaskan isu yang timbul berikutan penyebaran sebuah klip video mengenai kursus lawatan anjuran jabatan berkenaan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Perak, penjelasan itu diberikan dalam mesyuarat yang turut dihadiri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu tersebut.

Menurut kenyataan itu, hasil daripada mesyuarat tersebut dan setelah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, beberapa ketetapan telah dibuat bagi menangani isu berkenaan.

“Susulan mesyuarat tersebut, JAIPk diarahkan untuk membuat penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus berkenaan.

“JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

“Pada masa sama, JAIPk diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai,” jelas kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Bawa guru agama JAIPk ke kuil, Global Unity minta maaf

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan kerajaan negeri meminta semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam sosial media yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.

“Kerajaan negeri turut meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini,” ujar kenyataan berkenaan.

Kata kenyataan itu, polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

“Sehubungan itu, dengan ini ditegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip “maqasid syariah” dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Sebelum ini, tular satu video yang mana peserta program daripada JAIPk telah mengadakan lawatan ke sebuah kuil hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen di media sosial.-  MG Perak

Artikel Berkaitan:

Penceramah luar dibenarkan mengajar, bersyarah di Perak – JAIPk

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast