KUALA LUMPUR – Pas melahirkan keyakinan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail, akan mendapat sokongan penuh daripada pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Mohd Rizwadi adalah calon terbaik yang dipilih bagi mewakili gabungan tersebut.
“Berbekalkan disiplin ketenteraan dan proses pentarbiahan yang telah teruji, Pas merestui dan menaruh kepercayaan terhadap Rizwadi untuk menggalas tugas sebagai calon Perikatan Nasional, seterusnya menjadi wakil rakyat yang akan membela kebajikan dan kesejahteraan hidup seluruh warga Nenggiri,” kata Abdul Hadi.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas telah menggerakkan jentera parti di peringkat negeri Kelantan dan seluruh negara bagi memenangkan Rizwadi yang akan menggunakan lambang ‘Bulan’ pada PRK itu.
“Diharapkan proses penamaan calon dan tempoh berkempen akan berlangsung secara matang, adil dan saksama,” katanya.
Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail, 41, diumumkan sebagai calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRK DUN Nenggiri, bulan depan.
Pengumuman dibuat oleh Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Mohd Nassuruddin berkata, Rizwadi yang juga pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dipilih kerana faktor usia calon yang masih muda memandangkan pengundi muda di DUN Nenggiri adalah tinggi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Nenggiri diadakan pada 17 Ogos ini berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal 13 Ogos dan pengundian 17 Ogos. – MalaysiaGazette