Wan Saiful Wan Jan.- Foto SYAFIQ AMBAK, 07 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menolak tuduhan bahawa Pas menjadi parti yang semakin sombong dan bongkak dalam Perikatan Nasional (PN)

Wan Saiful berkata, dalam isu berkaitan sumbangan arak kepada sebuah sekolah Cina baru-baru ini, ia hanya melibatkan pandangan yang dikemukakan oleh parti-parti komponen secara terbuka hingga menggundang salah faham.

“Saya kenal kawan-kawan daripada Pas, Gerakan dan Bersatu saya rasa tak wujud kesombongan yang dituduh. Apa yang ada, adalah kita menyuarakan pandangan parti masing-masing.

“Tetapi apabila disuarakan secara terbuka maka jadilah salah faham. Ini bagi saya boleh diselesaikan. Kita kena ingat isu ini bermula apabila ada iklan arak di sekolah.

“Kita menari dengan muzik yang dimainkan oleh pihak lain hingga merebak kepada isu siapa boleh beri sumbangan kepada sekolah, merebak kepada isu siapa duduk dalam PN, tak ada kena mengena, sudah terkeluar kepada skirp (isu) asal,” katanya.

Sementara itu Wan Saiful berkata, PN perlu mewujudkan disiplin berjemaah dan berorganisasi.

Katanya, semua isu perlu dibincangkan dalam mesyuarat dan jika mencapai persetujuan sesuai untuk pengetahuan masyarakat, maka ia boleh diumumkan secara terbuka.

“Ini realiti dalam sebuah gabungan yang masih muda seperti PN yang mana parti-parti yang membentuk ada perbezaan pandangan. Bila ada ia perlu diselari dan diselaraskan untuk menjadi pegangan, gabungan secara keseluruhan.

“Untuk mengelakkan tuduhan Pas menjadi bongkak, Pas jadi takbur, untuk elak tuduhan itu berleluasa, saya rasa ini memerlukan perbicangan di peringkat atasan dan memerlukan sedikit disiplin supaya benda yang boleh disebut dalam mesyuarat, disebut dalam mesyuarat.

“Apa yang patut diumumkan sahaja, patut kita umumkan. Kalau tidak, akan timbul salah faham,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sesi libat urus bersama pengamal-pengamal industri media mengenai perihal isu-isu semasa negara di pejabatnya hari ini.

Wan Saiful yakin, dokumen Idelisme Bersatu yang dilancarkan baru-baru ini dengan prinsip utama melibatkan inklusif dan sederhana akan mempertautkan hubungan dalam kalangan pemimpin parti komponen PN.

Pas dan Gerakan baru-baru ini bertentangan pandangan mengenai sumbangan syarikat arak kepada sekolah Cina.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast