BUKIT MERTAJAM – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung insiden seorang pekerja kilang pembuatan di sini, maut dihempap jentera pengangkut (forklift) pada Khamis lalu.

Mangsa yang merupakan warga asing itu dilaporkan meninggal dunia dalam insiden jam 9.40 malam.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, sepasukan pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Jelasnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa merupakan pemandu forklift di kilang tersebut.

“Sebelum kejadian, mangsa sedang menjalankan kerja mengangkat dan memindahkan barang-barang dalam kawasan logistik di kilang tersebut.

“Bagaimanapun, forklift tersebut dikatakan hilang keseimbangan semasa mangsa memindah barang-barang itu sebelum menghempapnya.

“Impak kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, susulan itu satu notis pemberhentian serta merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut telah dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Pihak Jabatan juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan dan membuat pembentangan kes kepada jabatan.

“Kita akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenalpasti dan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil.

“Kita memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor.

“Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya. – MalaysiaGazette