KUANTAN – Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang cedera setelah dilanggar sebuah lori ketika melakukan sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Pantai `Timur (arah barat) jam 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu lori itu terlebih dahulu melanggar kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik JPJ sebelum merempuh Pembantu Penguatkuasa JPJ Pahang yang berusia 38 tahun itu.
Ketika kejadian mangsa sedang menjalankan Ops Khas Perdagangan di lorong kiri dengan melakukan penutupan lorong berkenaan untuk lencongan masuk ke kawasan rawat dan rehat (RNR) Gamban.
”Tiba-tiba pemandu lori berusia 57 tahun dari arah Kuantan menghala ke arah Kuala Lumpur telah hilang kawalan lalu melanggar kenderaan milik JPJ yang berada di lorong kiri dan terbabas melanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
”Mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri, tengkuk dan kepala dan menerima rawatan di Zon Kuning Wad Kecemasan HTAA,” tambahnya.
Wan Mohd Zahari berkata, pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit mempunyai tujuh saman yang belum dijelaskan.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette