KUALA TERENGGANU – Seorang pembonceng maut manakala dua penunggang motosikal mengalami kecederaan parah setelah kedua-dua motosikal itu bertembung di Jalan Kg Telari, Manir, dekat Kuala Terengganu malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian yang berlaku jam 10.26 malam itu menyebabkan mangsa Muhammad Hairis Irsyad Azhar, 15, maut di lokasi nahas.
Manakala kedua-dua penunggang motosikal yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Siasatan awal mendapati penunggang Honda dari arah kedai runcit menunggang di bahu jalan sebelah kiri dari arah Kampung Kebor Besar, Manir menghala ke arah rumahnya di Kampung Banggol Tok Esah.
Manakala penunggang Yamaha LC bersama pembonceng yang maut datang dari arah Kampung Kebor Besar menghala ke Banggol Peradong.
“Siasatan mendapati motosikal Yamaha yang sedang bergerak lurus dari arah Kampung Kebor Besar telah bertembung dengan penunggang Honda ketika sedang menyelusur dari bahu jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette