PERMATANG PAUH – Penduduk Kampung Permatang Ara di sini, menggesa kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan terhadap sebuah kilang plastik yang didakwa beroperasi secara haram berhampiran kawasan perumahan mereka.
Rata-rata mereka mendakwa kilang tersebut telah beroperasi sejak enam tahun lalu dan mengancam kesihatan penduduk serta mengakibatkan pencemaran udara.
Menurut Yeap Wei Chien, 31, masalah kilang haram itu membelenggu kira-kira 200 penduduk sekitar kawasan tersebut termasuk mereka empat sekeluarga yang tinggal paling hampir dengan kilang terbabit.
Jelasnya yang sudah menetap 24 tahun di kawasan tersebut, banyak aduan sudah dibuat kepada PBT termasuk mengadakan perjumpaan Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye namun sehingga kini tiada tindakan diambil.
“Kita kesal sudah bertahun masalah ini berlarutan namun tiada tindakan diambil sehingga kini sekali gus menyukarkan lagi kehidupan penduduk di sini.
“Ini kawasan rumah jadi tak sesuai untuk buat kilang tambahan pula ia membabitkan pembuatan plastik sudah tentu memberi impak besar kepada penduduk.
“Rumah saya hanya dua meter dari kilang ini dan semestinya kami terdedah kepada bahaya dari segi pencemaran udara, bunyi dan lain-lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu kira-kira 30 penduduk bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim mengadakan bantahan aman di hadapan kilang berkenaan sebagai simbolik menuntut pihak berkaitan segera menutup operasi kilang haram tersebut.
Bagi penduduk, Omar Shaari, 64, pula, pihaknya berharap kilang ini ditutup dalam masa terdekat kerana ia memberi impak besar kepada kehidupan harian penduduk.
“Kilang ini beroperasi secara berkala namun bunyi bising daripada mesin yang digunakan mereka mengganggu kami yang menetap berhampiran.
“Tidak cukup itu sisa yang keluar dari kilang itu juga ada yang masuk ke kawasan sawah yang terletak di bahagian belakang kilang.
“Sehubungan itu, kita gesa pihak berkaitan ambil tindakan segera kerana bimbang pencemaran disebabkan kilang ini memberikan impak kepada kesihatan penduduk pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, beliau telah menggunakan semua saluran termasuk membangkitkan isu tersebut ketika Sidang Dewan Undangan Negeri 24 Mei lalu namun tidak diendahkan pihak berkaitan.
“Kita terima aduan daripada penduduk berhubung perkara ini pada 30 November lalu dan sejak 4 Disember kita telah suarakan isu tersebut kepada PBT, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah.
“Kita difahamkan pada 19 Januari lalu PBT telah keluarkan notis untuk pemilik mengosongkan premis dalam tempoh 30 hari namun kilang itu seolah-olah kebal memandangkan sehingga kini masih beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette