Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Para peniaga tidak perlu bimbang dengan pelaksanaan e-invois bermula 1 Ogos kerana kerajaan memberi kelonggaran enam bulan untuk setiap peringkat pelaksanaan dan denda tidak dikenakan dalam tempoh tersebut.

Pakar percukaian, Koong Lin Loong berkata, kelonggaran setiap peringkat itu sekaligus bermaksud  kelonggaran yang diberikan adalah sebanyak 18 bulan.

Beliau berkata, peniaga juga tidak perlu bimbang akan tersalah langkah kerana melalui kelonggaran yang diberikan, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membenarkan semua aktiviti perniagaan untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan pada hujung bulan.

“Peniaga hanya perlu mengeluarkan e-invois yang disatukan pada hujung bulan dan tidak perlu bimbang akan tersalah isi apa-apa.

“Hakikatnya, ini hanya pertukaran satu kaedah dan terdapat kelonggaran yang diberikan,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.

Lin Loong berkata, ramai perusahaan kecil dan sederhana (PKS)  berasa gelisah dengan e-invois kerana tidak memahami apa yang berlaku.

“Oleh itu, PKS harus menggunakan 18 bulan yang ada untuk memahami e-invois dengan menyertai program pendidikan yang dianjurkan LHDN atau mendapat maklumat daripada ejen percukaian.

“Mereka harus proaktif untuk memahami sistem baharu ini dan bukannya gelisah tentang pertukaran perisian,” katanya.

Ujarnya, syarikat korporat yang besar pula mempunyai sumber yang lebih banyak dan persiapan yang rapi, justeru tidak bimbang dengan perubahan yang berlaku.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan e-invois berlainan dengan implementasi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang memerlukan pertukaran sistem komputer.

“Yang dicetak daripada komputer sekarang pun merupakan e-invois sebenarnya.

“Yang bezanya, dulu cetakan digunakan untuk tujuan perakaunan dan melapor cukai, manakala sekarang perlu melakukan e-invois. Bezanya cuma sudah tambah satu rangkaian ke LHDN,” katanya.